Apabila berlaku kematian, ahli keluarga sering menghadapi suatu komplikasi kehidupan : Semua harta si mati dibekukan dan sumber pendapatan keluarga terhenti. Soalnya: Siapakah yang akan mentadbirkan HARTA PUSAKA si arwah? Siapakah yg akan membayar HUTANG PIUTANG yang ditinggalkan beliau? KLINIK PEWARISAN HARTA mempunyai formula penyelesaian yang segera dan efektif. Sila hubungi : 012-7767171 (HJ. ZULFAKAR RAHMAT) utk keterangan lanjut.

Mutiara Dari Al-Quran

Mutiara Dari Al-Quran

Thursday, July 1, 2010

Kalau harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati janganlah meninggalkan HUTANG!

Mingguan Malaysia bertarikh 6 Jun 2010 ada menyiarkan berita bertajuk " Kakitangan awam terjebak ah long". Berita tersebut menarik perhatian saya oleh kerana dilaporkan bahawa kira-kira 2 hingga 3% daripada penjawat awam yang menetap di Putrajaya "terjebak" dengan ah long sehingga gaji bulanan mereka sering tidak mencukupi.

Difahamkan bahawa mereka yang terlibat itu adalah terdiri daripada kakitangan Kerajaan kumpulan sokongan yang didapati sanggup meminjam wang daripada ah long dengan alasan untuk membeli kereta baru atau untuk berjudi.

Jika mengambil kira bilangan kakitangan Kerajaan lain yang berhutang dengan syarikat-syarikat kad kredit atau membuat pinjaman dengan institusi kewangan atau kopeerasi, maka sudah tentu peratusan mereka yang terjebak dengan masalah hutang akan menjadi bertambah ramai.

Persoalannya sekarang ialah mengapakah penjawat awam tersebut sanggup berhutang dengan ah long semata-mata hanya untuk hidup bermewah-mewah atau akibat ketagihan judi? Adalah gaji yang mereka terima setiap bulan itu tidak mencukupi akibat kegawatan ekonomi sekarang atau mereka sememangnya bersikap boros dalam menguruskan kewangan peribadi mereka?

Tidakkah mereka sedar bahawa dengan meminjam wang daripada ah long atau peminjam wang yang lain, mereka terpaksa membayar bunga (interest)yang tinggi untuk tempoh masa yang lama walhal pinjaman pokok tidak akan berkurangan daripada amaun pinjaman asal? Ini melibatkan riba yang berlipat lagi ganda, yang amat ditegah oleh agama kita Islam.

Bayangkanlah apakah nasib yang akan menimpa ke atas isteri dan anak-anak mereka sekiranya sipeminjam meninggal dunia secara mengejut sedangkan hutang masih belum berbayar? Sekiranya si peminjam masih bujang, sudah tentu beban hutang tersebut akan terpaksa dipikul oleh ibu bapa mereka.

Pada dasarnya, umat Islam tidak digalakkan berhutang. Ini merujuk kepada sikap Rasulullah SAW yang keberatan melaksanakan solat jenazah ke atas mayat yang masih memiliki tanggungan hutang. Baginda pernah bersabda:

" Diampunkan bagi serang (yang mati) syahid semua dosanya kecuali hutang".

- Riwayat Muslim

Walau bagaimanapun, Islam masih memberikan ruang dan kelonggaran untuk berhutang,khususnya dalam keadaan darurat dan teramat memerlukannya. Tetapi, perlu diingat disamping Islam memberi kelonggaran tersebut, setiap hutang itu WAJIB dijelaskan sebelum sesorang itu meninggal dunia. Ingatlah bahawa kewajiban membayar hutang tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Rasulullah SAW bersabda:

"Demi Tuhan yang diriku ditanganNya, jika seseorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanggung hutang,dia tetap tidak akan dapat masuk syurga selagi hutang tersebut belum dijelaskan (oleh saudara-maranya)."

- Riwayat An-Nasa'i

Kepada mereka yang terjebak dengan kemelut hutang, sama ada dengan ah long, ceti atau pun institusi kewangan yang lain, saya ingin mengingatkan diri saya dan kawan-kawan lain agar SEGERA mengambil tindakan untuk menjelaskan hutang-hutang agar beban hutang tersebut tidak ditanggung oleh waris-waris apabila ditakdirkan kita meninggal dunia sedangkan hutang masih belum habis dibayar.

Akhir sekali, terdapat syarikat takaful yang menyediakan pelbagai pakej bertujuan membantu para pelanggannya menyelesaikan hutang-hutang melalui pembayaran faedah-faedah kematian apabila seseorang pelanggan takaful berkenaan meninggal dunia.