Apabila berlaku kematian, ahli keluarga sering menghadapi suatu komplikasi kehidupan : Semua harta si mati dibekukan dan sumber pendapatan keluarga terhenti. Soalnya: Siapakah yang akan mentadbirkan HARTA PUSAKA si arwah? Siapakah yg akan membayar HUTANG PIUTANG yang ditinggalkan beliau? KLINIK PEWARISAN HARTA mempunyai formula penyelesaian yang segera dan efektif. Sila hubungi : 012-7767171 (HJ. ZULFAKAR RAHMAT) utk keterangan lanjut.

Mutiara Dari Al-Quran

Mutiara Dari Al-Quran

Monday, June 7, 2010

Benarkah Kaum Wanita Golongan Yang Mudah Terjebak Melakukan Dosa Fitnah Harta Pusaka?

Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa kaum wanita adalah golongan yang paling mudah terjebak melakukan dosa Fitnah Harta Pusaka. Benarkah pandangan tersebut? Mungkin pendapat tersebut berlandaskan  situasi dimana para isteri adalah orang yang paling hampir dengan suami. Sekiranya berlaku kematian ke atas suami, maka isteri si matilah merupakan waris paling hampir dan bertanggungjawab menguruskan harta-harta peninggalan suami.

Fitnah Harta Pusaka boleh ditafsirkan sebagai suatu perbuatan menggunakan harta peninggalan si mati dengan cara yang haram dan tidak betul dan ianya dilakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Sebenarnya, kesalahan melakukan fitnah harta pusaka bukan terhad kepada golongan wanita (terutama para isteri) sahaja malahan dosa tersebut boleh dilakukan oleh mana-mana waris si mati yang di beri tanggungjawab mentadbirkan harta pusaka selepas berlaku kematian, misalnya bapa mertua, ibu mertua, anak-anak si mati atau pemegang amanah atau wasi yang tidak bertanggungjawab. 

Fitnah Harta Pusaka boleh dibahagikan kepada tiga keadaan seperti berikut:-

(i)  Memakan Hak-Hak Si Mati
Sebagai orang Islam, kita perlu mengetahui hak-hak berkaitan dengan harta peninggalan si mati. Ini adalah kerana setiap harta peninggalan si mati sama ada dalam bentuk harta alih (seperti wang tunai, saham, kereta, wang simpanan bank, ASB, KWSP dll) atau harta tak alih (spt rumah, tanah, kebun, ladang dll), WAJIB ditunaikan beberapa hak sebelum harta tersebut di agih-agihkan kepada waris-waris. Hak-hak tersebut perlu diselesaikan SEGERA mengikut turutan seperti berikut:
  • membiayai kos pengurusan jenazah 
  • melunaskan hutang-hutang si mati (hutang kpd agama dan hutang kpd manusia)
  • menyelesaikan tuntutan harta sepencarian (jika ada)
  • menunaikan wasiat (jika ada); dan
  • membahagikan harta kpd waris-waris yang layak.
Walaubagaimanapun, sering berlaku di dalam masyarakat kita di mana waris-waris si mati yang terdekat akan terus membahagi-bahagikan harta pusaka kepada waris-waris TANPA menyemak hak-hak lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu terutama sekali berhubung dengan hutang-hutang si mati. Sepatutnya harta yang ditinggalkan si mati, hendaklah digunakan untuk membayar segala hutang-hutangnya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada menegaskan di dalam hadisnya yang bermaksud:
"Jiwa sesorang mukmin itu disangkutkan dengan hutangnya sehingga hutangnya dilunasi". (Riwayat Ahmad, Ibnu Hajar & Tarmizi).

Hadis tersebut memberi maksud bahawa selagi mana hutang si mati tidak diselesaikan dengan menggunakan harta yang ditinggalkannya, maka selagi itulah rohnya akan tersiksa di alam kubur.  
                                                                                  
 (ii) Memakan Harta Anak Yatim
Pada kelazimannya, apabila berlaku kematian suami, isteri si mati akan menggunakan wang yang ditinggalkan oleh arwah suaminya untuk membiayai kos penghidupan mereka sepertimana biasa, termasuk perbelanjaan untuk kenduri arwah suaminya. Perlu diingatkan bahawa wang peninggalan arwah suami itu sebenarnya adalah harta pusaka dan ianya TIDAK boleh dibelanjakan secara sewenang-wenangnya oleh si isteri tanpa terlebih dahulu berbincang serta mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain. 

Perbuatan memakan harta anak yatim adalah satu kesalahan yang dianggap berdosa. Ianya amat ditegah oleh Allah dan Rasulnya. Allah telah memberi amaran keras kepada sesiapa yang melakukan dosa memakan harta anak yatim. Firma Allah SWT :

"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala". (Surah An-Nisa : 10)

(iii) Memakan Harta Secara Batil (Haram atau Tidak Betul)
Waris-waris terdekat amat mudah terdedah kepada melakukan fitnah harta pusaka apabila mereka menggunakan harta pusaka peninggalan si mati tanpa membahagi-bahagikan kepada waris-waris lain yang layak. Misalnya, sekiranya arwah si suami masih mempunyai emak dan ayah, semua harta pusaka suami perlu dibahagikan mengikut hukum-hukum faraid, di mana kedua ibu dan bapa si suami mempunyai hak ke atas harta pusaka tersebut, selain daripada isteri (atau isteri-isteri) dan anak-anak.

Perbuatan memakan harta secara batil juga adalah satu kesalahan dan dianggap berdosa. Firma Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan cara yang batil ". (Surah An-Nisa : 29).   

 Akhir kata, dosa  melakukan Fitnah Harta Pusaka ini boleh dielakkan sekiranya semua orang Islam sedar tentang betapa perlunya membuat perancangan harta semasa masih hidup. Pewarisan harta perlu dilakukan sekarang, tanpa dilengah-lengahkan lagi. Semasa kita masih hidup ini, kita perlulah membuat perancangan awal tentang kepada siapa harta peninggalan kita hendak diwarisi. Kita perlu melantik sesaorang yang boleh dipercayai bagi mentadbirkan harta peninggalan selepas kita meninggal dunia kelak. Perancangan harta PERLU di uruskan SEGERA kerana ajal maut boleh datang menjemput kita pada bila-bila masa, tanpa lewat atau tercepat walau sesaatpun.